Monday, November 24, 2008

Lee Balad anak antos Kg Pinang BOLEH!!




BENARKAH musim 2008 ini bakal sekali lagi menjadi milik pasukan Shell Advance Maju Motor? Mampukah Ahmad Fazli Sham, anak emas bagi Yong Ying Hoe mengulangi kehebatan M.Meganathan bergelar Raja Kapchai sebanyak dua kali dari 1999 dan 2000 bakal menjadi kenyataan? Bagaimanapun berdasarkan prestasi semasa selepas berakhirnya empat pusingan lepas (kali terakhir di Kota Bharu 7 dan 8 Jun lepas), pasukan Shell Advance Maju Motor mempunyai karektor dalam mengejar impian tersebut. Dengan empat kemenangan (tiga menjadi milik Fazli), pasukan Shell Advance Maju Motor dilihat sekali lagi mampu mendominasikan kategori Expert buat kali kedua berturut-turut. Bermula di Taiping dan berakhir di Kota Bharu, kesemuanya menjadi milik pelumba pasukan Shell Advance Maju Motor. Paling ceria ialah Fazli, Raja Kapchai yang baru ditabalkan musim lepas apabila mengenggam tiga dari empat gelaran pusingan awal musim ini. Barisan pelumba pasukan Shell Advance Maju Motor bermula cemerlang di perlumbaan awal musim dengan Litar Kamunting, Taiping, sekaligus menjadi petanda awal buat perjuangan mereka. Ahmad Fazrul Sham menafikan ramalan awal komuniti Cub Prix bahawa pelumba senior sepertinya bakal berdepan masalah untuk menguasai format baru 4-Lejang musim ini. Fazrul pantas merangkul gelaran pertama di Taiping dengan catatan 13:20.921saat kelebihan 0.047saat di depan Md Affendi Rosli dari pasukan Suzuki Harian Metro SCK. Md Zamri Baba (PETRONAS Sprinta Ah Hong) turut menceriakan pasukan PETRONAS setelah meraih kedudukan pelumba ketiga terbaik pada saingan di Taiping ini. Memasuki saingan Pusingan Ke-2 di Litar Kluang, Johor pada 5 dan 6 April lepas, kemaraan Fazli dan Fazrul terlalu sukar untuk dikekang. Ujian masa dan kelayakan menyaksikan kemampuan dua pelumba bimbingan Ying Hoe begitu dominan. Kluang yang menghidangkan trek berteknikal menjadi milik Ahmad Fazli Sham sekaligus gelaran pertama bagi Raja Kapchai musim baru ini. Fazli menamatkan saingan 15 pusingan dengan catatan 12:08.485saat di depan pelumba PETRONAS Sprinta Ah Hong, Azlan Shah Kamaruzaman dan adiknya Fazrul untuk melakar kemenangan kedua musim 2008 ini. Sekali lagi pasukan Shell Advance Maju Motor membuktikan mereka adalah pasukan yang sukar untuk digugat. Gandingan tiga ‘F’ membuktikan bahawa persembahan mereka semakin ampuh tatkala meraikan kejayaan gemilang ketika aksi Pusingan Ke-3 berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada 3 dan 4 Mei lepas. Fazli dan Fazrul juga membuktikan bahawa gandingan mereka cukup berbisa untuk musim 2008. Tambah manis kejayaan itu dikongsi bersama dengan pelumba ketiga mereka Md Faiz Nawawi sekaligus mencipta gempita buat pasukan merah ini apabila merakamkan kemenangan 1,2,3 buat pasukan bimbingan Ying Hoe. Fazli menamatkan saingan 13 pusingan dengan catatan 18:22.829saat diikuti adiknya, Fazrul dan Faiz untuk meletakkan Team Shell Advance Maju Motor Racing merai catatan gemilang di Litar Antarabangsa Sepang. Rentetan kejayaan Shell Advance Maju Motor tidak terhenti di tiga hentian awal sahaja. Kota Bharu yang menjadi medan Pusingan 4 pada 7 dan 8 Jun lepas sekali lagi mengangkat nama Fazli Sham dalam prestij tersendiri. Buat kali ketiga berturut-turut, Fazli sekali lagi berjaya memukau ribuan peminat dan menghampakan lawannya untuk terus menguasai saingan akhir kelas Expert musim ini. Kejayaan itu juga turut memahat nama Fazli Sham selaku pelumba pertama yang berjaya mencipta kemenangan hatrik sejak perlumbaan Cub Prix diperkenalkan pada tahun 1995. Kemenangan di Kota Bharu,mengukuhkan lagi cengkaman Fazli untuk mengejar gelaran Raja Expert buat kali kedua. Selepas berakhirnya kempen di Kota Bharu, Fazli mengumpul 82 mata sementara adiknya, Fazrul berkedudukan di tempat kedua dengan 61 mata manakala Azlan Shah Kamaruzaman (PETRONAS Sprinta Ah Hong) mengisi tempat ketiga dengan 44 mata. Apapun peluang masih terbuka buat pelumba-pelumba lain dan saingan di Gong Badak berhampiran Stadium Sultan Mizan, Kuala Terengganu pada 4 dan 5 Julai depan jelas semakin panas. Seandainya Fazli terus mendominasikan saingan akhir, besar kemungkinan mahkota Raja Expert musim 2008 ini akan terus kekal di Shell Advance Maju Motor buat kali kedua.

No comments: