
Meletakkan harapan yang terlalu tinggi boleh menjadi satu kekecewaan yang amat besar jika ia gagal untuk dilaksanakan. Md Emir Firdaus Hasan telah melalui keperitan tersebut apabila dia gagal untuk merealisasikan hasratnya untuk mencul juara di kampung halamannya sendiri dalam saingan pusingan kesembilan Kejuaraan Cub Prix Malaysia AAM PETRONAS Sprinta yang dilangsungkan di Kangar, Perlis. Pelumba berusia 19 tahun itu kini ditinggalkan jauh oleh pencabar terdekatnya, Abd Muhaimin Roslan apabila Muhaimin yang berusia 17 tahun berjaya memungut 20 mata manakala Emir hanya berjaya memperolehi 8 mata. Dengan saingan penutup tirai yang akan dilangsungkan di Litar Sepang Utara hujung minggu ini, Muhaimin akan hadir berlumba dengan penuh keyakinan setelah berjaya mengumpul 172 mata setakat ini, 15 mata membezakannya dengan Emir ditangga kedua dengan157mata. Emir yang berlumba untuk pasukan Motul KMC YY Pang harus menanggung risiko tersebut kerana kesilapannya di Kangar apabila terbabas di selekoh 1 dalam pusingan ketiga ketika mendahului perlumbaan. "Ia merupakan kecuaian saya sendiri dan saya tidak boleh menyalahkan orang lain dalam situasi sekrang ini. Ketika berlumba, saya tidak mampu mengawal emosi dan akhirnya ia membawa padah. Saya amat kecewa tetapi sudah terlambat untuk menangisi kekecewaan ini," ujar juara Wira epg musim 2007 dengan penuh kekesalan. "Saya dapat mengagak peluang untuk menjuarai saingan Novis musim ini makin sukar. Saya berani mengatakan yang saya hanya memiliki 30% peluang untuk membawa pulang mahkota Kejuaraan. Dengan jurang 15 mata, saya perlu muncul juara di Sepang sambil mengharapkan Muhaimin menamatkan perlumbaan sekurang-kurangnnya di tempat ketujuh. Saya cuma mengharapkan tuah kerana Muhaimin sentiasa konsisten menaiki podium kecuali dalam perlumbaan Pusingan 6 di Kuching. Saya masih ingat di Kuching, Muhaimin mengekori rapat dibelakang saya dan ketika saya terbabas, dia gagal untuk mengelak dan turut terlibat dalam insiden tersebut. Saya masih mampu untuk meneruskan perlumbaan tetapi dia gagal menamatkan saingan itu." "Walau bagaimanapun, saya tidak akan berputus asa. Saya masih ada satu peluang lagi. Saya berjanji tidak akan lakukan lagi kesilapan yang sama dan akan berusaha untuk berlumba dengan cemerlang di Sepang. Jika segalanya telah diberikan dan saya masih gagal muncul juara, saya harus terima hakikat tersebut," tambah Emir lagi yang telah dua kali berjaya meragut bendera kemenangan tahun ini.