
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis akan mengenakan 'saman olok-olok' terhadap penumpang belakang yang tidak memakai tali pinggang keledar mulai 16 hingga 31 Disember ini.
Saman tersebut merupakan sebahagian daripada latihan untuk mengingatkan dan mendidik penumpang-penumpang di tempat duduk belakang supaya memakai tali pinggang keledar kerana peraturan itu akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari ini.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh, latihan saman atau 'mock enforcement' itu menyerupai saman sebenar yang bakal dikenakan apabila tarikh penguatkuasaan peraturan itu bermula.
"Penumpang belakang yang menerima saman itu dalam tempoh berkenaan tidak perlu membayarnya kerana ia adalah latihan sahaja," katanya pada kempen keselamatan jalan raya di Plaza Tol Sungai Besi di sini, semalam.
Kempen itu adalah anjuran UMW Toyota Motor's Traffic Heroes Club (THC), iaitu kelab dalam talian pertama di Malaysia, membabitkan penyertaan 45 pelajar sekolah rendah untuk mengedarkan pengikat kepala bertulis 'Pasang Tali Pinggang Keledar Anda'.
Bagaimanapun tegas beliau, mana-mana penumpang tempat duduk belakang yang tidak memakai tali pinggang keledar mulai 1 Januari ini boleh dikenakan kompaun sehingga RM200.
Suret menambah, peraturan baru itu bagaimanapun tidak dikuatkuasakan kepada kenderaan yang didaftarkan sebelum 1 Januari 1995 dan kenderaan komersial termasuk teksi, kereta sewa, lori dan bas.
"Bagi kenderaan yang didaftarkan selepas 1 Januari 1995 tetapi tidak dipasang tali pinggang keledar tempat duduk belakang, pemilik diberi tempoh selama tiga tahun untuk memasangnya."Sehingga tempoh itu, kenderaan tersebut tidak akan disaman," tambahnya.